Wednesday 12 October 2016

Disangka Perompak, Doktor Teruk Dibelasah Polis Elit Kawasan Hospital

Tags


Dari FMT News

Seorang doktor di Hospital Serdang yang disangka perompak oleh sepasukan polis elit dicekup dan direbahkan ke atas lantai, sebelum digari dan disoal siasat untuk beberapa jam, mengikut laporan akhbar The Sun.

Insiden Jumaat lalu itu berlaku apabila anggota elit Pasukan Tugas Khas Melawan Jenayah Terancang (Stafoc) tiba dengan berpakaian hitam, lengkap dengan balaclava dan senjata berat selepas menerima laporan sekumpulan perompak berada di ruang makan dekat tempat letak kereta hospital itu.

Polis Sepang mengesahkan menerima aduan daripada seorang doktor berumur 28 tahun, yang ketika kejadian memakai pakaian doktor, dengan tag pengenalan hospital dan stetoskop di lehernya.

“Pengadu mendakwa dikasari anggota pasukan yang melakukan serbuan dan berkata insiden itu memalukannya,” kata ACP Abdul Aziz Ali dipetik The Sun.

Beliau memberi jaminan penyiasatan menyeluruh sedang dilakukan dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi.

Doktor itu berkata beliau menyangka kira-kira 12 anggota Stafoc itu merupakan penjenayah, dan beliau seperti kakitangan hospital lain di kawasan itu bertempiaran menyelematkan diri.

The Sun melaporkan pasukan Stafoc tiba di hospital selepas mendapat tahu 7 penjenayah yang terlibat dalam sebuah rompakan di Kajang berada di situ.

Polis berjaya menangkap suspek yang cuba melarikan diri, bagaimanapun menyangka doktor yang ketika itu cuba menyelamatkan dirinya juga seorang penjenayah.

Seorang doktor kanan dilaporkan merayu anggota Stafoc melepaskan rakannya tetapi tidak diendahkan pasukan itu.

Doktor itu kemudian dibawa ke balai polis untuk soal siasat, dan dibebaskan dengan jaminan pada 3.00 pagi disambut ayahnya yang kebetulan seorang pegawai polis di Bukit Aman.


sumber asal


EmoticonEmoticon